Sunday, June 19, 2011

Guru Kreatif Pemangkin Transformasi Pendidikan Negara

Guru merupakan ejen pembentuk masyarakat dengan kata lain, guru boleh diinterpretasikan sebagai arkitek minda masyarakat. Menurut Khadijah Rohani dan Nazariah (2007:2) “Guru mempunyai tanggungjawab yang besar dalam agenda arus perdana untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur menjelang tahun 2020. Mereka merupakan agen pelaksana yang akan membentuk generasi pewaris negara ini.” Jika diambil kira kepada sistem pendidikan Malaysia pada hari ini yang kebanyakkanya berteraskan teknologi maklumat, tidak mustahil misi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur menjelang tahun 2020 melalui pembentukan generasi pelapes tidak menjadi suatu yang sukar. Namun, jika dilihat kepada generasi muda hari ini khususnya di kawasan luar bandar, jelas menunjukkan Malaysia masih lagi mempunyai masyarakat yang mempunyai kelas pemikiran yang masih lagi rendah. Masalah sosial remaja serta tahap akademik pelajar Malaysia amnya dan lebih khusus lagi di kawasan luar bandar yang masih lagi rendah menjadi cabaran kepada negara untuk berdiri dengan misi untuk gah bergerak maju. Di manakah silapnya? Masalah sosial boleh juga dikatakan berpunca daripada guru yang gagal membentuk remaja di kawasan luar bandar ini. Mengikut logik akal, pernyataan ini ada kebenarannya. Rata-rata pelajar di kawasan luar bandar yang mempunyai masalah akademik berpunca daripada guru itu sendiri. Pelajar-pelajar ini malas ke sekolah kerana mereka tidak berminat untuk belajar. Jika diteliti dengan lebih mendalam, minat pelajar-pelajar sebenarnya boleh dipupuk, namun cara pengajaran guru yang membosankan menjadi alasan kepada mereka untuk tidak cemerlang dalam bidang akademik. Sudahlah tidak minat belajar, ditambah lagi cara guru mengajar yang membosankan membuatkan masalah ini kian berterusan. Seharusnya guru harus peka dengan situasi kelasnya. Di sekolah, guru bertanggungjawab penuh dalam mendidik murid-murid. Oleh itu, guru perlu menjadi insan yang kreatif dalam mendidik anak-anak bangsa.


Sebagai seorang guru, kita tidak dapat lari dari berfikir untuk menjadikan anak bangsanya menjadi insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani serta inteleknya (falsafah pendidikan kebangsaan). Menurut Fraenkel (1980), berfikir merupakan pembentukan idea, pembentukan semula pengalaman dan penyusunan maklumat dalam bentuk tertentu. Berdasarkan definisi berfikir oleh Fraenkel, bolehlah disimpulkan bahawa berfikir merupakan suatu proses menggunakan minda sama ada untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu, membuat pertimbangan dan keputusan atau menyelesaikan masalah. Dalam isu ini, guru seharusnya berfikir secara kreatif untuk mewujudkan pengajaran efektif. Menurut Mohd Nashuha Jamidin dan rakan-rakan (1995), kemahiran berfikir secara kreatif ialah suatu tindakan yang mampu menghasilkan perkara-perkara berikut termasuklah menjana idea, membuat infrens, menghubungkait, meramal, membuat hipotesis, mengitlak, menganalogi, membuat gambaran mental, mereka cipta. Berdasarkan definisi pemikiran kreatif ini, guru yang berfikiran kreatif mampu mewujudkan pengajaran yang efektif. Apabila mereka berfikiran kreatif, mereka mampu untuk menjana idea yang bahru dan mereka cipta sesuatu yang bahru. Bersesuaian dengan situasi pembelajaran, dengan menggunakan pemikiran yang kreatif, guru boleh merancang atau memikirkan bentuk pengajaran yang sesuai dan sekali-sekali perlu lari daripada kebiasaan. Hal ini bermaksud sekiranya guru sering menggunakan cara yang sama untuk menyampaikan isi pengajarannya, tidak salah jika seorang guru itu mahu mencuba sesuatu yang bahru dengan memasukkan unsur-unsur yang boleh menarik perhatian pelajar. Perkara inilah yang dinamakan kreatif dan perhatian pelajar kepada pengajaran guru dapat dipertingkatkan secara maksimum (efektif). Terdapat beberapa perkara kreatif yang boleh dipraktikan oleh guru di dalam bilik darjah untuk menjadikan sesi pengajaran dan pembelajarannya lebih efektif.


Antara perkara kreatif yang boleh diterapkan termasuklah yang pertamanya dari segi pemilihan bahan bantu mengajar. Pemilihan bahan bantu mengajar merupakan perkara yang penting sebagai persediaan untuk membantu sesi pengajaran seorang guru. Sememangnya sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, pemilihan bahan bantu dan alat bantu mengajar merupakan perkara wajib bagi seorang guru untuk memenuhi sesi pengajarannya. Namun, terdapat ramai guru yang memilih atau menyediakan alat bantu mengajar secara ala kadar sahaja dan lebih teruk lagi terdapat sebilangan guru juga langsung tidak menggunakan alat bantu mengajar sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran mereka. Dalam isu ini, saya berpandangan, alat bantu mengajar yang digunakan kebanyakan guru kini sudah tidak relevan lagi contohnya seperti pengedaran lembaran kerja, lembaran nota, menggunakan seratus peratus sumber daripada buku teks dan sekadar menggunakan papan tulis sahaja. Perkara sebegini membuatkan sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi bosan dan hambar. Seharusnya guru lebih kreatif dalam menyediakan alat bantu mengajar agar dapat menarik minat pelajar sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran. Antara contoh alat bantu mengajar yang lebih canggih dan kreatif termsuklah menggunakan alat bantu mengajar berdasarkan ICT. Perkara yang boleh dikatakan baharu dalam sistem pendidikan ini boleh menarik minat pelajar dan penglibatan pelajar kerana pelajar pada masa ini lebih tertarik dangan bahan-bahan yang melibatkan ICT. Perkara inilah yang dikatakan teknologi pendidikan. Mengikut Yusup Hashim (1997), teknologi pendidikan ialah satu proses merancang, membina, mereka bentuk, melaksana dan menilai aktiviti-aktiviti pembelajaran secara sistematik dengan tujuan meningkatkan serta memudahkan proses pengajran dan pembelajaran. Melalui pernyataan ini, apa yang boleh dikatakan disini melalui teknologi pendidikan yang dijadikan sebagai subpengajaran (alat bantu mengajar) dikatakan boleh dijadikan satu cara untuk menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran (mengatasi masalah sesi pengajaran yang hambar dan bosan). Melalui pemilihan bahan bantu mengajar yang kreatif akhirnya dapat menjadikan pengajaran lebih efektif kerana peratusan penglibatan pelajar di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dipertingkatkan secara maksimum. Impak positif yang lahir melalui cara ini ialah pelajar akan merasa seronok dan sentiasa berminat untuk belajar.


Cara kreatif yang seterusnya ialah melalui pengurusan kelas yang kreatif dan bersistematik. Hal ini bermaksud untuk mentadbir dan mengendalikan sesebuah kelas, seorang guru perlu kreatif dengan menggunakan pelbagai cara. Jika dilihat pada situasi sesi pengajaran dan pembelajaran kini, didapati kebanyakan pelajar kebanyakannya tidak mahu menurut arahan guru seperti contoh guru mengarahkan pelajarnya agar tidak membuat bising, namun sesetengah pelajar ada yang tidak mengendahkan arahan guru berkenaan. Kesannya situasi kelas menjadi bising dan tidak terkawal. Sewajarnya guru perlu kreatif dalam mengenal pasti sikap pelajar-pelajarnya. Guru harus ingat manusia mempunyai psikosiosal yang berbeza mengikut peringkat umurnya. Contohnya menurut teori perkembangan psikososial Erikson yang dinyatakan oleh Supiah Nachiapan (2007), pada umur 12 hingga 20 tahun, remaja pada tahap ini lebih cenderung menyesuaikan diri dalam masyarakat. Pada tahap ini, remaja akan cuba berusaha mewujudkan identiti dan persepsi sendiri terhadap dunia mereka. Hal ini bermaksud, dalam mencari identiti dan cara hidup sendiri, mereka sanggup buat apa sahaja termasuklah perkara-perkara negatif demi mencari perhatian dan mungkin untuk disanjungi. Dalam situasi ini, pelajar yang membuang bising dan tidak mahu menuruti arahan guru merasakan apabila mereka melakukan perkara-perkara sedemikian, mereka boleh dianggap sebagai seorang ‘hero’ oleh kelompok mereka. Di sinilah peranan guru diperlukan. Guru perlu kreatif dalam mengendalikan kelas. Mereka perlu tahu kehendak pelajar mengikut peringkat umur mereka. Maksudnya psikologi pelajar perlu dikaji terlebih dahulu. Melalui cara komunikasi yang berkesan yang ditunjukkan oleh guru, kebarangkalian untuk menjadikan kelas terkawal adalah tinggi. Hasilnya, sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan masa untuk menyampaikan maklumat dan ilmu kepada pelajar mencukupi kerana guru tidak lagi banyak membazirkan masa untuk mengurus dan mengawal pelajar-pelajarnya.


Dalam proses mencari dan menilai strategi yang terbaik untuk digunakan, seseorang itu perlu mempunyai pemikiran atau idea yang inovatif. Seorang yang berinovatif itu boleh melakukan sesuatu kerja dengan cara “smart”. Jika seseorang pengetua/pengurus itu terlalu kreatif tetapi tidak berani mengambil risiko untuk mencuba kaedah baru, maka ia akan tinggal sebagai mimpi. Manakala seorang pengetua/pengurus yang berani melakukan perubahan tetapi tidak kreatif, maka kerja tersebut menjadi sukar dan mencabar. Oleh itu seorang pengetua yang ada idea kepada cara atau kaedah baru dan berani mengambil risiko untuk melakukan perubahan, maka pengetua tersebut adalah seorang yang berinovatif, iaitu sesuatu kerja itu dilakukan bukan dengan cara “hard work” tetapi dengan cara “smart work”. Dalam berfikir, seseorang itu akan menggunakan sama ada otak kiri atau otak kanan. Otak kiri dilakukan di dalam proses perancangan apabila membuat rasional dan analitikal. Ia lebih khusus kepada perkara yang berkaitan dengan kuatitatif.Ini penting dalam analisis persekitaran organisasi,luaran dan dalaman. Manakala otak kanan digunakan bagi perkara-perkara yang lebih kemanusiaan, emosional tidak verbal, induktif dan kualitatif. Dalam pemilihan strategi dan implementasi pelaksanaan strategi, otak kanan amat perlu digunakan.Setiap orang mempunyai dua hemispihera otak. Oleh itu setiap orang berupaya berfikir secara kreatif. Satu pandangan yang kreatif itu ialah cara bagaimana kita melihat terhadap sesuatu itu atau cara pendekatan yang digunakan. Oleh yang demikian, dalam perbincangan mengenai menjadikan sesi pengajaran lebih efektif, tangunggjawab tidak hanya terletak di bahu guru semata-mata, pengetua ataupun guru besar juga mempunyai tanggungjawab yang sama berat yang harus dipikul.


Di samping itu, penggunaan teknik pengajaran yang kreatif merupakan sesuatu yang tidak kira penting juga. Dalam situasi menjadikan kelas ceria dan efektif, penglibatan pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran sangat diperlukan. Jika dilihat pada satu situasi pembelajaran, seseorang guru hanya menggunakan teknik pengajaran yang sama sepanjang semester pembelajaran. Lebih memburukkan keadaan, jika guru itu hanya menggunakan teknik pengajaran penceritaan dan penerangan sahaja. Hal ini bermakna situasi pengajaran dan pembelajaran hanya berpusatkan guru semata-mata. Kelas menjadi hambar kerana pelajar tidak aktif. Pelajar hanya menyalin nota dan mendengar sahaja guru menyampaikan isi pelajaran. Adakalanya pelajar membuat hal sendiri. Guru perlu kreatif mengubah cara atau teknik pengajarannya. Antara teknik pengajaran yang boleh digunakan ialah teknik simulasi, teknik puisindra, teknik lakonan dan teknik sumbangsaran. Dalam teknik sumbang saran, pelajar dilihat mampu mewujudkan suasana yang aktif. Mereka boleh dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Di samping menjadikan kelas ceria, pelajar saling dapat bantu-membantu. Menurut Suppiah Nachiapan (2007), aktiviti sumbangsaran dilihat dapat membina semangat berpasukan yang kuat. Strategi kreatif yang baik adalah dengan menghasilkan idea-idea baru. Melalui sumbangsaran juga pelajar mampu untuk berdaya saing kerana mereka mempunyai peluang melahirkan pemikiran mereka. Impak ini dapat dilihat melalui pelajar yang sentiasa aktif dalam pengajaran guru.


Kesimpulannya, dalam pengajaran dan pembelajaran, guru harus mempunyai daya kreativiti untuk memupuk pelajar agar lebih berminat untuk belajar. Guru yang kreatif ialah guru yang mampu melahirkan sesuatu yang baharu. Melalui pembaharuan inilah yang membuatkan seseorang guru itu dilihat mampu menjana sesuatu yang kratif. Untuk melahirkan masyarakat yang proaktif dan prudoktif, peranan guru sangat penting. Tanpa pemikiran yang kreatif, sisitem pendidikan kita masih berada ditakuk yang lama. Pelbagai cara untuk memupuk pemikiran yang kreatif lebih-lebih lagi kepada guru. Usaha yang berterusan perlu dijanakan, jika tidak segala yang dirancang dan segala yang difikirkan tidak akan mampu dicapai. Demi menjadikan pengajaran efektif, guru tidak harus takut mengambil risiko untuk membuat pembaharuan seperti yang tergambar dengan ciri-ciri seorang yang berfikiran kreatif asalkan pembaharuan yang dibuat tidak lari daripada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan juga pentadbiran sekolah. Guru yang gagal ialah guru yang takut gagal. Melalui pemikiran yang kreatif bukan sahaja dapat menjadikan pengajaran efektif, tetapi juga memberi impak kepada kecemerlangan sekolah dan juga kemajuan negara.